Twitter pertama dari angkasa lepas

10:54 PTG Dicatat oleh Krai Utara


CAPE CANAVERAL – Angkasawan kini boleh melayari internet dari angkasa lepas. Ini terbukti semalam apabila mereka berjaya menghantar pesanan ke laman web sosial, Twitter dari atas langit.
Kejayaan itu dilakukan oleh seorang angkasawan, Timothy Creamer yang berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sejak bulan lalu bagi mewujudkan rangkaian internet dari angkasa lepas dengan dibantu oleh seorang pengendali pesawat.
“Hello, pengguna twitter. Kami kini sedang menulis secara langsung dari ISS, ulasan twitter pertama dari angkasa lepas,” tulisnya dalam akaun twitternya.
Sebelum ini, angkasawan terpaksa menghantar ulasan Twitter melalui e-mel kepada Menara awalan di Houston sebelum ia dimasukkan ke dalam laman web rangkaian sosial itu.

Krew ISS kini boleh menggunakan komputer riba untuk melayari internet yang hanya boleh dibuat apabila terdapat perhubungan komunikasi berkelajuan tinggi.
Menurut jurucakap Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Kelly Humphries kejayaan ini adalah satu perkembangan yang menggalakkan.
“Angkasawan yang terpaksa berjauhan dengan keluarga dan sahabat handai selama berbulan-bulan tidak akan lagi rasa seperti terasing.
“Kami jangkakan kejayaan ini akan membantu menaikkan semangat para angkasawan,” katanya.
Bagaimanapun, angkasawan masih perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan kepada para pegawai kerajaan iaitu mereka sama sekali tidak dibenarkan melayari Internet hingga boleh mengganggu waktu kerja mereka.
“Saya yakin angkasawan yang dihantar ke angkasa lepas adalah dari kalangan mereka yang berdedikasi tinggi.
“Jadi, sudah pasti mereka akan menyiapkan kerja mereka terlebih dahulu sebelum melayari internet,” kata Humphries.
Komunikasi para angkasawan dengan ahli keluarga dan sahabat handai kini dipantau oleh kerajaan.
Sementara itu, Creamer yang dalam misi selama lima bulan ke angkasa lepas, kini sudah berada di ISS selama sebulan dan sedang berkongsi stesyen bersama angkasawan dari Jepun dan Russia. – AP

0 ulasan:

Catat Ulasan